Tuesday, April 19, 2011

WAHAI REMAJA....

REMAJA DEWASA INI....
Penuh keresahan.... penuh kegusaran.... penuh kegelisahan...
Resah memikir apa yang tak perlu difikir....
Gusar menghadapi ujian dan realiti kehidupan...
Gelisah melawan desakan diri, rakan sebaya, masyarakat sekeliling....

REMAJA DEWASA INI...
Penuh kekeliruan... penuh kesangsian... penuh syak wasangka....
Keliru mencari identiti diri...
Sangsi memilih mana yang baik, mana yang buruk...
Syak wasangka dalam menilai ibu bapa, guru, masyarakat sekeliling....

REMAJA DEWASA INI...
Kurang berani... kurang jati diri... kurang angan-angan...
Kurang keberanian melawan hasutan rakan sebaya....
Kurang jati diri untuk menonjolkan kewibawaan diri...
Kurang angan-angan untuk menjadi yang terhebat...

REMAJA HARI INI... BANGUNLAH SEBELUM TERLAMBAT...
SEDARLAH SIAPA DIRIMU HARI INI...
BAGI MEREALISASIKAN SIAPA DIRIMU ESOK HARI...
KERANA ANDALAH TONGGAK PEMBANGUNAN NEGARA...
PEMUDA HARAPAN NEGARA, PEMUDI TIANG NEGARA...

Monday, August 30, 2010

Dengarlah.... walau seminit...

Saya sungguh seronok bila dapat membimbing pelajar dalam memahami serta menyelesaikan masalah mereka. Bukan saya nak mengambil alih tempat guru kaunseling di sekolah tetapi saya berasa suatu kerugian apabila seseorang pelajar yang bermasalah dibiarkan terus dengan masalahnya tanpa diberikan bantuan.

Masalah ialah sesuatu yang ada jalan penyelesaian. macam kita menyelesaikan masalah matematik, langkah pertama kita perlu memahami masalah tersebut. Tak kisahlah masalah kita sendiri ataupun masalah pelajar. Apabila kita sedar diri ada masalah, ia adalah langkah pertama ke arah penyelesaikan. Kalau kita dapat mengenalpasti masalah, kita boleh merancang strategi penyelesaian. Strategi tersebut perlu dilaksanakan dengan teliti dan bersungguh-sungguh. Kalau masalah tersebut tidak dapat diselesaikan kaedah A kita cuba pula kaedah B. Dalam setiap langkah yang diambil, ia akan menjadi suatu pengalaman yang akan menjadi guru yang terbaik untuk kita. Orang yang paling rugi ialah mereka tak sedar diri ada masalah.

Bila saya meluangkan sedikit masa untuk mendengar, rupanya banyak yang hendak mereka kongsikan. Selepas mendengar, barulah kita tahu rupanya begitu masalah mereka. 80% daripada sekumpulan pelajar yang sempat saya dekati, adalah bermasalah pembelajaran, emosi serta sosial. Golongan ini banyak yang menyumbang kepada kegawatan sosial dewasa ini.
Jadi sebagai golongan dewasa yang berfikiran matang, wajar rasanya kita meminjanmkan telinga kepada adik, anak, jiran, pendek kata golongan muda, agar mereka ini ada tempat untuk mengadu dan mencari bimbingan dan bukan dipersalahkan andai nasi sudah menjadi bubur.

Hidup Biar Berjasa...

Saturday, January 9, 2010

PERMULAAN 2010...


Sebelum masa bergerak pantas meninggalkan kita, baiklah eloknya kita yang bergerak pantas melangkaui masa. Macam orang yang suka berangan-angan, dia masih kat situ tapi angan-angan tu dah melangkaui 10 tahun ke hadapan. Angan-angan tu boleh tapi jangan jadi angan-angan Mat Jenin sudahlah.

1. MENETAPKAN MATLAMAT....


Tahun baru dipenuhi dengan azam-azam yang lama dan baru. Bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, sudah pastinya azam pertama mereka adalah 'NAK BERJAYA DI DALAM PEPERIKSAAN 2010'. Tengok tu, cara menetapkan azam pun salah, macam mana nak merealisasikan azam tersebut pula?

Apabila kita menetapkan azam atau matlamat yang hendak dicapai pada tahun ini, matlamat tersebut perlulah onjektif dan boleh dicapai. Contohnya, 'SAYA NAK DAPAT 8A DALAM PMR 2010' atau satu contoh yang lain, 'SAYA NAK DAPAT A BAGI MATA PELAJARAN SAINS'. Matlamat yang jelas ini perlu dalam membimbing kita membuat perancangan ke arah mencapai matlamat tersebut.


2. MERANCANG....

Untuk mencapai segala matlamat yang telah ditetapkan, kita perlu membuat perancangan yang jelas berkaitan kaedah-kaedah bagi mencapai matlamat tersebut. Contohnya bagi mencapai matlamat di atas, antara kaedah-kaedah yang boleh membantu kita ialah:
  1. TUMPUAN 100% SEMASA GURU MENGAJAR.
  2. SIAPKAN HOMEWORK DALAM TEMPOH 24 JAM.
  3. JADUAL BELAJAR DI HUJUNG MINGGU.
Merancang adalah satu proses yang sangat penting kerana jika kita gagal merancang bermakna kita merancang untuk gagal!

3. MELAKSANA...

Apabila sampai pada ketika untuk melaksanakan segala perancangan kita, perkara yang sangat susah dan selalu menjadi penghalang yang besar untuk kita mengotakan apa yang dikata ialah disiplinkan diri. Ketika kita cuba untuk memberikan tumpuan 100% semasa guru mengajar akan ada sahaja gangguan daripada diri kita sendiri, orang disekeliling mahupun persekitaran itu sendiri.

Masalah diri seperti tidak cukup tidur, tidak sihat atau ada masalah yang mengganggu fikiran. Masalah lain seperti gangguan rakan-rakan di dalam kelas secara langsung ataupun tidak langsung. Masalah dalam persekitaran seperti bau busuk atau pun bunyi bising. Semua masalah ini mampu diatasi dengan adanya disiplin serta semangat yang kental dalam diri setiap individu termasuklah pelajar dan guru.

Semoga lembaran 2010 ini dimulakan dengan matlamat yang jelas untuk berjaya, disusuli dengan perancangan yang kemas, disertakan dengan perlaksanaan yang sistematik dan semoga diakhiri dengan kejayaan yang cemerlang sekaligus mencapai matlamat yang telah ditetapkan....

***KITA MERANCANG, ALLAH PUN MERANCANG DAN PERANCANGAN ALLAH ITU ADALAH SESUATU YANG PASTI...

Tuesday, September 1, 2009

"Latihan Minda..."

Fikirkan Boleh
Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu
Jika kau fikirkan kekalahan
Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan
Kau hampiri kejayaan
Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Kau fikir boleh melakukan
Fikirkan boleh
Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh..
Lirik lagu FIKIRKAN BOLEH ini selalu dijadikan pembakar motivasi diri kita. Motivasi dalaman ini sangat penting untuk menghasilkan BOOSTER yang mampu menggerakkan minda untuk berfikir dan seterusnya bertindak... ENGKAULAH APA KAU FIKIRKAN... Langkah pertama untuk mencapai sesuatu kejayaan itu ialah dengan menggambarkan bahawa kita telah mencapai kejayaan itu. Lagi kuat gambaran kita lagi kuat dorongan untuk mencapainya. Biasanya orang yang telah berjaya telah menggambarkan segala kejayaannya sebelum dia benar-benar berjaya! Pelikkan... tapi itulah KUASA MINDA!!
Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Dimana ia berlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukan, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan suara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

5.Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan. Idea keluar mencurah-curah. Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.
Kalau rasa minda anda sentiasa letih atau tidak mampu menggambarkan sebarang kejayaan saya cadangkan anda patut mencuba GENIUS XTRA!!!

Sunday, August 16, 2009

Adakah anda terTEKAN?

Sila semak tanda-tanda awal yang menunjukkan anda sedang mengalami tekanan. Ada sesetengah orang menangis dan merasa sangat sedih. Ada sesetangah yang lain pula rasa marah, mudah mengamuk atau sentiasa risau tanpa sebab. Bagi sesetengah individu yang lain pula, simpton-simpton tekanan ditunjukkan oleh masalah sembelit, sakit otot atau sakit kepala. Ambil masa sejenak untuk berfikir bagaimana diri anda seminggu dua ini. Mana satu antara banyak tanda-tanda tekanan yang pernah atau sedang anda rasai?

Merujuk kepada http://www.thefreedictionary.com/depression , “Depression is a mental state in which a person has feelings of gloom and inadequacy”.

Daripada raut wajah pun kita boleh kenalpasti sesorang itu dalam keadaan tertekan atau sebaliknya. Sebagai contohnya seseorang yang sedang mengalami keadaan tekanan yang sangat hebat. Katakan seorang bapa diberhentikan kerja sedang bermasalah untuk mencari duit menanggung ahli keluarganya. Anak yang sulung baru nak masuk darjah 2. Yuran sekolah, keperluan serta peralatan belajar perlu disediakan. Anak kedua baru berusia 4 tahun, sedang membesar dan memerlukan makanan yang berkhasiat. Isterinya pula sedang mengandung anak ketiga yang bakal lahir bila-bila masa sahaja! Subhanallah, bagi yang beragama Islam, kia percaya bahawa itu adalah sedikit sahaja ujian hidup yang Allah berikankepada hamba yang disayangiNya.

Bebanan hidup antaranya masalah kewangan, masalah keluarga, masalah kerjaya menjadikan seseorang itu memikirkan perkara yang dianggap masalah itu pada setiap waktu. Tanpa disedarinya, wajah atau pun keadaan fizikalnya turut menunjukkan tanda-tanda dia sedang tertekan. Ehm.. macam gambar kat atas tu, wajah masam mencuka serta raut muka yang sedang memikirkan sesuatu yang tiada penyelesaian. Secara tidak langsung kita dah dapat mengenalpasti apa sebenarnya punca TEKANAN dalam hidup kita ini. Ya.. segala perkara-perkara yang kita anggap sebagai masalah merupakan punca kita terpaksa berfikir tentangnya.

Apa itu MASALAH? Seorang guru saya pernah memberikan takrifan untuk perkataan MASALAH. MASALAH ialah perkara yang boleh diselesaikan. Seandainya sesuatu perkara itu ada jalan penyelesaian ia boleh dipanggil MASALAH. Jadi tujuan MASALAH itu hadir dalam hidup seseorang ialah untuk diselesaikan. Bukanlah bertujuan untuk mengganggu kenikmatan hidupnya. Ini yang kita sentiasa tersalah faham. Jadi jika kita berdepan dengan sesuatu masalah bagaimana tanggapan kita terhadap masalah itu adalah paling penting dan bagaimana kita berfikir kearah penyelesaian masalah tersebut akan membantu kita menghindari diri daripada masalah tersebut.

Langkah-langkah dalam penyelesaian masalah seharian kita adalah seperti langkah-langkah penyelesaian dalam matapelajaran Matematik Tambahan. Pertama sekali mengenalpasti masalah. Apa sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi? Tuliskan. Langkah kedua ialah kita perlu memahami masalah tersebut. Dengan menyenaraikan punca-punca masalah tersebut berlaku serta apakah langkah-langkah yang boleh diambil. Dengan menyenaraikan semua punca permasalahan kita akan lebih memahami tentang masalah yang sedang kita hadapi. Seterusnya cuba lakukan langkah-langkah penyelesaian dengan kaedah cuba jaya. Akhir sekali kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita tidak akan mampu menyelesaikan semua masalah. Jika boleh. Alhamdulillah tetapi kalau sebaliknya redha dengan hati yang ikhlas.

Kesimpulannya, tekanan adalah lumrah kehidupan. Tekanan akan menjadikan kita sesorang yang lebih baik daripada sebelumnya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Untuk mendapatkan intan yang tulen, perlu dikenakan tekanan yang amat tinggi.

Sunday, July 26, 2009

What is genius?


“Genius refers to a person, a body of work, or a singular achievement of surpassing excellence. More than just originality, creativity, or intelligence, genius is associated with achievement of insight which has transformational power. A work of genius fundamentally alters expectations and even the broader consciousness of its audience. Genius may be generalized, or be particular to a discrete field such as sports, statesmanship, science, or art”. (wikipedia.com)

Genius adalah merujuk kepada seseorang, kerja ataupun sesuatu pencapaian yang cemerlang. Lebih daripada biasa, kreatif atau bijak. Genius dihubungkait dengan pencapaian kefahaman yang mempunyai kuasa untuk merubah. Genius mungkin secara umum atau pun tertumpu kepada bidang-bidang tertentu seperti sukan, pemidato, sains atau seni.

Kita pernah terbaca berita anak-anak Malaysia yang genius. Sebagai contohnya Adi Putra yang bijak menghafal bukan sahaja ayat-ayat Al-Quran, malahan segala fakta serta angka-angka. Terasa malu pula nak menyebut angka-angka yang berbillion-billion tu kalau nak bertanding dengan Adi Putra. Pelbagai spekulasi timbul berkaitan pelajar genius ini. Biasalah cakap-cakap orang yang iri hati. Tak ketinggalan juga ramai yang mengambil kesempatan untuk membuat kajian. Macam mana Adi Putra ni genius sangat? Jawapannya mungkin tersembunyi dalam otak Adi Putra.

Kalau nak dibelah otak budak genius ni adalah sesuatu yang mustahil. Tapi kita boleh tengok cara beliau menggunakan otaknya. Menurut penceritaan ibunya memang Adi Putra dilahirkan genius. Tanpa disuruh dia bangun malam untuk bersolat dan menyelesaikan masalah-masalah Matematik yang tidak dapat diselesaikan oleh orang lain. Semoga Adi Putra akan kekal genius dalam semua bidang yang dilakukannya.

Sebenarnya, setiap anak dilahirkan dengan keupayaan mental yang paling optimum. Mungkin dalam 100% sel-sel otaknya tersedia untuk disambungkan. Setiap kali ada rangsangan ke otak, setiap kali itulah sel-sel ini bersambung. Sel-sel yang tidak bersambung akan hilang seiring peningkatan usia anak kita. Sehingga meningkat dewasa, keupayaan mental kita hanyalah kurang daripada 10%. Adakah kita sedang menggunakan sehingga 5% daripada otak kita?

Monday, July 20, 2009

PANDAI KE??

Kali ini saya cuba untuk memahami serta membincangkan berkaitan satu perkataan iaitu PANDAI. Satu perkataan yang sangat ringkas tapi meluas digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Seawal usia beberapa bulan hingga ke lanjut usia, perkataan ini mudah difahami maksudnya. Namun begitu adakah kita benar-benar memahami maksud sebenar perkataan ini?

Dewasa ini kita sering disogokkan dengan istilah pandai yang bergantung kepada sebanyak mana A yang diskor oleh seseorang pelajar dalam peperiksaan mereka. Adalah kepandaian seseorang itu hanya diukur dengan berapakah bilangan A yang diperoleh dalam UPSR, PMR dan SPM? Adakah pelajar X yang mendapat 2A kurang pandai berbanding pelajar Y yang mendapat 5A dalam peperiksaan yang sama? Mengapa persoalan pandai atau tidak seseorang anak itu diukur dengan bilangan A yang diperoleh mereka? Kerapkali dialog-dialog di bawah ini kita dengar selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan.
Situasi A:
"Anak you dapat berapa A?”
“Anak I dapat 5A”
“Wah..Pandainye anak you.”
Situasi B:
“Tengok ayah, Amin dapat 2A dalam peperiksaan lepas”.
“Apa ni Amin. Ayah penat-penat cari duit sekolahkan Amin, 2A je Amin dapat? Pergi sekolah buat ape ? Main ke ?”

Dialog di atas tu rekaan sahaja tiada kaitan dengan sesiapa pun. Itu antara dialog-dialog yang biasa kita dengar. Mungkin itu soalan yang relevan untuk tujuan nak sibuk tahu keputusan exam anak orang lain ataupun soalan trend (kalau dulu-dulu tanya berapa agregat)...

Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan bilangan A sehinggakan kita tidak memandang pencapaian anak-anak kita dari aspek yang lain. Adakah tujuan pendidikan anak-anak kita ini hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata? Adakah pandai atau tidaknya anak kita itu hanya diukur dengan pencapaian akademiknya sahaja?
Saya bukanlah seorang yang Anti-A. Darah yang mengalir dalam badan saya pun Darah O, penderma universal, tiada apa-apa antigen. Waktu sekolah dulu pun saya selalu skor sempurna ‘straight’ A dalam exam. Cuma nikmat A dahulu amat berbeza dengan A yang sekarang. Apa nikmatnya A? A Cumalah suatu gred yang diberikan diatas penguasaan peringkat CEMERLANG. Adakah cemerlang seorang anak yang mendapat 10 A tetapi kurang ajar dengan guru, ibu bapa mahupun masyarakat disekeliling?

Takut saya apabila mengetahui trend ibu bapa sekarang yang asyik menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen. Ada antaranya yang menghantar anak mereka seawal umur 6 tahun! Untuk apa pada usia seawal itu anak-anak ini dibebankan dengan jadual hidup yang membosankan sehingga membataskan waktu anak-anak bermain serta bermesra dengan adik beradik dan ibu bapa mereka? Sekali lagi, saya bukanlah Anti-Tuisyen malahan saya salah seorang guru tuisyen. Cuma trend ini sedikit sebanyak melebarkan jurang kasih sayang sesama ahli keluarga. Paling menyedihkan ada antara ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen semata-mata kerana tidak sanggup melayan karenah anak-anak yang asyik nak tengok TV serta membuang masa di dalam rumah sendiri! Ingin saya tegaskan, tak semua ibu bapa macam ni...hanya segelintir. Bersyukurlah, kita bukan dalam golongan tersebut.

Sebagai ibu bapa saya yakin apa yang kita rancangkan untuk anak-anak kita adalah yang terbaik. Kalau di sekolah boleh pilih cikgu, pasti kita akan memilih guru-guru yang terbaik untuk anak kita. Tetapi biarlah perancangan kita itu juga mengambil kira perkembangan jasmani, rohani, emosi dan sosial anak-anak kita. Barulah kita dapat membentuk anak kita sebagai insan kamil yang bukan sahaja pandai, beriman serta berakhlak mulia.

Mari kita sama-sama memahami maksud sebenar perkataan PANDAI. Menurut kamus dewan bahasa(edisi keempat):
· PANDAI bermaksud cerdik, pintar, bijak, cekap, mahir, boleh, mampu, sanggup
· BIJAK bermaksud pandai, cerdik, pintar, pandai bercakap, petah lidah
· PINTAR bermaksud cekap, pandai, banyak akal, cerdik, mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan.
· GENIUS bermaksud sangat pintar, sangat cerdik, cerdik yg luar biasa

Menurut kamus maya, wikipedia.com:
· Intelligence is an umbrella term used to describe a property of the mind that encompasses many related abilities, such as the capacities to reason, to plan, to solve problems, to think abstractly, to comprehend ideas, to use language, and to learn. There are several ways to define intelligence. In some cases, intelligence may include traits such as creativity, personality, character, knowledge, or wisdom. However there is no agreement on which traits define the phenomenon of intelligence agreed upon by a majority across the various concerned disciplines.

Kalau difahamkan maksud kepandaian di atas, pandai atau bijak itu bukan terbukti semata-mata pada bilangan A yang diperoleh tetapi lebih kepada bagaimana ilmu yang diperoleh itu digunakan dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian yang melibatkan penyelesaian masalah, percambahan idea, penggunaan bahasa dalam berkomunikasi, personaliti diri serta kreativiti seseorang dalam menjalani hidupnya.

Pernah ada seorang pelajar menyoal saya kenapa dia perlu belajar Matematik Tambahan yang bagi beliau sesuatu yang susah dan membosankan. Saya cuba memahamkan pelajar tersebut berkaitan suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila kita dapat menyelesaikan soalan Matematik Tambahan. Kami bersama-sama menyelesaikan satu soalan Matematik Tambahan dan apabila berjaya selesaikannya saya bertanyakan apa perasaan beliau apabila berjaya selesaikan soalan itu. Sambil tersenyum beliau berasa yakin, bangga dan puas hati. Jadi saya merumuskan kepada beliau bahawa kehidupan ini pun macam soalan Matematik tambahan juga. Setiap hari kita akan berdepan dengan masalah yang pelbagai rupa. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, tetapi perlu diselesaikan secara sistematik, menggunakan kaedah yang betul, sabar dan teliti dalam setiap langkah. Akhirnya jika kita berjaya menyelesaikan satu persatu masalah dalam hidup kita, kita pun akan menjadi seorang yang yakin, bangga dan puas hati dengan hidup kita.

Semoga hidup kita ini sentiasa menyumbang ke arah kebaikan; ibarat sepohon pokok yang berbuah ranum, biarlah dibaling batu mahupun kayu, ia tetap setia membalasnya dengan buah yang masak ranum lagi manis....