Sunday, July 26, 2009

What is genius?


“Genius refers to a person, a body of work, or a singular achievement of surpassing excellence. More than just originality, creativity, or intelligence, genius is associated with achievement of insight which has transformational power. A work of genius fundamentally alters expectations and even the broader consciousness of its audience. Genius may be generalized, or be particular to a discrete field such as sports, statesmanship, science, or art”. (wikipedia.com)

Genius adalah merujuk kepada seseorang, kerja ataupun sesuatu pencapaian yang cemerlang. Lebih daripada biasa, kreatif atau bijak. Genius dihubungkait dengan pencapaian kefahaman yang mempunyai kuasa untuk merubah. Genius mungkin secara umum atau pun tertumpu kepada bidang-bidang tertentu seperti sukan, pemidato, sains atau seni.

Kita pernah terbaca berita anak-anak Malaysia yang genius. Sebagai contohnya Adi Putra yang bijak menghafal bukan sahaja ayat-ayat Al-Quran, malahan segala fakta serta angka-angka. Terasa malu pula nak menyebut angka-angka yang berbillion-billion tu kalau nak bertanding dengan Adi Putra. Pelbagai spekulasi timbul berkaitan pelajar genius ini. Biasalah cakap-cakap orang yang iri hati. Tak ketinggalan juga ramai yang mengambil kesempatan untuk membuat kajian. Macam mana Adi Putra ni genius sangat? Jawapannya mungkin tersembunyi dalam otak Adi Putra.

Kalau nak dibelah otak budak genius ni adalah sesuatu yang mustahil. Tapi kita boleh tengok cara beliau menggunakan otaknya. Menurut penceritaan ibunya memang Adi Putra dilahirkan genius. Tanpa disuruh dia bangun malam untuk bersolat dan menyelesaikan masalah-masalah Matematik yang tidak dapat diselesaikan oleh orang lain. Semoga Adi Putra akan kekal genius dalam semua bidang yang dilakukannya.

Sebenarnya, setiap anak dilahirkan dengan keupayaan mental yang paling optimum. Mungkin dalam 100% sel-sel otaknya tersedia untuk disambungkan. Setiap kali ada rangsangan ke otak, setiap kali itulah sel-sel ini bersambung. Sel-sel yang tidak bersambung akan hilang seiring peningkatan usia anak kita. Sehingga meningkat dewasa, keupayaan mental kita hanyalah kurang daripada 10%. Adakah kita sedang menggunakan sehingga 5% daripada otak kita?

Monday, July 20, 2009

PANDAI KE??

Kali ini saya cuba untuk memahami serta membincangkan berkaitan satu perkataan iaitu PANDAI. Satu perkataan yang sangat ringkas tapi meluas digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Seawal usia beberapa bulan hingga ke lanjut usia, perkataan ini mudah difahami maksudnya. Namun begitu adakah kita benar-benar memahami maksud sebenar perkataan ini?

Dewasa ini kita sering disogokkan dengan istilah pandai yang bergantung kepada sebanyak mana A yang diskor oleh seseorang pelajar dalam peperiksaan mereka. Adalah kepandaian seseorang itu hanya diukur dengan berapakah bilangan A yang diperoleh dalam UPSR, PMR dan SPM? Adakah pelajar X yang mendapat 2A kurang pandai berbanding pelajar Y yang mendapat 5A dalam peperiksaan yang sama? Mengapa persoalan pandai atau tidak seseorang anak itu diukur dengan bilangan A yang diperoleh mereka? Kerapkali dialog-dialog di bawah ini kita dengar selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan.
Situasi A:
"Anak you dapat berapa A?”
“Anak I dapat 5A”
“Wah..Pandainye anak you.”
Situasi B:
“Tengok ayah, Amin dapat 2A dalam peperiksaan lepas”.
“Apa ni Amin. Ayah penat-penat cari duit sekolahkan Amin, 2A je Amin dapat? Pergi sekolah buat ape ? Main ke ?”

Dialog di atas tu rekaan sahaja tiada kaitan dengan sesiapa pun. Itu antara dialog-dialog yang biasa kita dengar. Mungkin itu soalan yang relevan untuk tujuan nak sibuk tahu keputusan exam anak orang lain ataupun soalan trend (kalau dulu-dulu tanya berapa agregat)...

Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan bilangan A sehinggakan kita tidak memandang pencapaian anak-anak kita dari aspek yang lain. Adakah tujuan pendidikan anak-anak kita ini hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata? Adakah pandai atau tidaknya anak kita itu hanya diukur dengan pencapaian akademiknya sahaja?
Saya bukanlah seorang yang Anti-A. Darah yang mengalir dalam badan saya pun Darah O, penderma universal, tiada apa-apa antigen. Waktu sekolah dulu pun saya selalu skor sempurna ‘straight’ A dalam exam. Cuma nikmat A dahulu amat berbeza dengan A yang sekarang. Apa nikmatnya A? A Cumalah suatu gred yang diberikan diatas penguasaan peringkat CEMERLANG. Adakah cemerlang seorang anak yang mendapat 10 A tetapi kurang ajar dengan guru, ibu bapa mahupun masyarakat disekeliling?

Takut saya apabila mengetahui trend ibu bapa sekarang yang asyik menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen. Ada antaranya yang menghantar anak mereka seawal umur 6 tahun! Untuk apa pada usia seawal itu anak-anak ini dibebankan dengan jadual hidup yang membosankan sehingga membataskan waktu anak-anak bermain serta bermesra dengan adik beradik dan ibu bapa mereka? Sekali lagi, saya bukanlah Anti-Tuisyen malahan saya salah seorang guru tuisyen. Cuma trend ini sedikit sebanyak melebarkan jurang kasih sayang sesama ahli keluarga. Paling menyedihkan ada antara ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen semata-mata kerana tidak sanggup melayan karenah anak-anak yang asyik nak tengok TV serta membuang masa di dalam rumah sendiri! Ingin saya tegaskan, tak semua ibu bapa macam ni...hanya segelintir. Bersyukurlah, kita bukan dalam golongan tersebut.

Sebagai ibu bapa saya yakin apa yang kita rancangkan untuk anak-anak kita adalah yang terbaik. Kalau di sekolah boleh pilih cikgu, pasti kita akan memilih guru-guru yang terbaik untuk anak kita. Tetapi biarlah perancangan kita itu juga mengambil kira perkembangan jasmani, rohani, emosi dan sosial anak-anak kita. Barulah kita dapat membentuk anak kita sebagai insan kamil yang bukan sahaja pandai, beriman serta berakhlak mulia.

Mari kita sama-sama memahami maksud sebenar perkataan PANDAI. Menurut kamus dewan bahasa(edisi keempat):
· PANDAI bermaksud cerdik, pintar, bijak, cekap, mahir, boleh, mampu, sanggup
· BIJAK bermaksud pandai, cerdik, pintar, pandai bercakap, petah lidah
· PINTAR bermaksud cekap, pandai, banyak akal, cerdik, mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan.
· GENIUS bermaksud sangat pintar, sangat cerdik, cerdik yg luar biasa

Menurut kamus maya, wikipedia.com:
· Intelligence is an umbrella term used to describe a property of the mind that encompasses many related abilities, such as the capacities to reason, to plan, to solve problems, to think abstractly, to comprehend ideas, to use language, and to learn. There are several ways to define intelligence. In some cases, intelligence may include traits such as creativity, personality, character, knowledge, or wisdom. However there is no agreement on which traits define the phenomenon of intelligence agreed upon by a majority across the various concerned disciplines.

Kalau difahamkan maksud kepandaian di atas, pandai atau bijak itu bukan terbukti semata-mata pada bilangan A yang diperoleh tetapi lebih kepada bagaimana ilmu yang diperoleh itu digunakan dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian yang melibatkan penyelesaian masalah, percambahan idea, penggunaan bahasa dalam berkomunikasi, personaliti diri serta kreativiti seseorang dalam menjalani hidupnya.

Pernah ada seorang pelajar menyoal saya kenapa dia perlu belajar Matematik Tambahan yang bagi beliau sesuatu yang susah dan membosankan. Saya cuba memahamkan pelajar tersebut berkaitan suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila kita dapat menyelesaikan soalan Matematik Tambahan. Kami bersama-sama menyelesaikan satu soalan Matematik Tambahan dan apabila berjaya selesaikannya saya bertanyakan apa perasaan beliau apabila berjaya selesaikan soalan itu. Sambil tersenyum beliau berasa yakin, bangga dan puas hati. Jadi saya merumuskan kepada beliau bahawa kehidupan ini pun macam soalan Matematik tambahan juga. Setiap hari kita akan berdepan dengan masalah yang pelbagai rupa. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, tetapi perlu diselesaikan secara sistematik, menggunakan kaedah yang betul, sabar dan teliti dalam setiap langkah. Akhirnya jika kita berjaya menyelesaikan satu persatu masalah dalam hidup kita, kita pun akan menjadi seorang yang yakin, bangga dan puas hati dengan hidup kita.

Semoga hidup kita ini sentiasa menyumbang ke arah kebaikan; ibarat sepohon pokok yang berbuah ranum, biarlah dibaling batu mahupun kayu, ia tetap setia membalasnya dengan buah yang masak ranum lagi manis....

Saturday, July 11, 2009

MINDA YANG TENANG..

Dimanakah idea yang bernas?
Idea-idea yang bernas selalunya diperoleh sewaktu otak kita berada didalam keadaan yang tenang. Susah untuk kita berfikir dgn waras jika kita dalam keadaan stress atau kelam kabut. Dalam keadaan kelam kabut itu semua perkara yang dibuat tidak menjadi. Satu persatu nasib malang yang akan menimpa diri, ibarat kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.

Apakah minda yang tenang?
Sebagai seorang muslim, minda yang paling tenang ialah sewaktu bangun ditengah malam dan mengerjakan solat tahajud. Biasanya selepas solat yang khuyuk kita dapat merasai nikmat Islam itu dengan adanya suatu perasaan seronok, aman, tenang dan ikhlas. Sebenarnya ketenangan minda boleh dicapai apabila minda kita berada didalam gelombang alfa.

Apakah gelombang alfa?
Antara banyak organ dalam badan, kita selalu mengabaikan kesihatan organ yang paling penting iaitu otak Otak adalah pusat kawalan badan kita. Saya sangat teruja apabila mengajar tajuk 'Brain" dalam subjek Sains atau Biologi. Itu pemahaman secara biologi. Nanti saya terangkan secara biologi tetapi sekarang kita bincangkan tentang mInda atau 'mind'. Ada tiga jenis gelombang dalam otak kita iaitu :
  • GELOMBANG ALPHA
  • GELOMBANG BETA
  • GELOMBANG GAMMA
  • GELOMBANG DELTA
  • GELOMABANG THETA

Antara semua jenis gelombang yang ada, gelombang jenis alpha adalah yang paling tenang. Gelombang inilah yang diperlukan oleh guru untuk mengajar, diperlukan oleh pelajar untuk belajar, diperlukan oleh ibu bapa untuk berdepan dengan masalah-masalah anak-anak mereka, yang diperlukan oleh peminpin untuk mengatasi masalah-masalah sosial yg semakin kronik serta diperlukan oleh setiap individu untuk sentiasa sihat dan mereka yang sakit kembali sihat.
Nak tau lebih lanjut tentang gelombang-gelombang yang lain baca disini.

Bagaimana nak mendapatkan minda yang tenang?
Jawapannya mudah sahaja, kembalikan minda kita ke dalam gelombang alpha. Bila kita dalam keadaan serabut dan kelam kabut kita sedang berada dalam gelombang beta. Kita perlu tenangkan minda dengan kaedah yang pelbagai. Sebagai contoh solat, mengaji, dengan muzik ataupun mencuba kaedah-kaedah meditasi. Tapi awas jangan sampai terpesong akidah!

Ada kaedah meditasi yang berasaskan Islam?
Ada...Saya dah jumpa satu rahsia alam yang besar (top secret) saya menggunakannya dan saya sedang merasainya. Satu teknologi gelombang yang dikaji dan diasaskan oleh seorang Muslim dan Anak Malaysia iaitu Dr Yusoff. Anda pernah dengar tentang teknologi AFTL? AlHayat Faster Than Light Technology. teknologi ini sedang dicari2 oleh orang barat tetapi seorang Anak Malaysia dah menjumpainya! Alhamdulillah, besar kesannya pada diri saya dan orang-orang sekeliling.

Friday, July 10, 2009

TUGAS SEORANG GURU...

Saya suka berkongsi dengan semua beberapa pengalaman saya mendidik anak bangsa semenjak tahun 2002 hinggalah sekarang. Banyak pengalaman manis, masam, masin, pahit dan juga tawar sebagai seorang cikgu. Dengan hati yang ikhlas saya telah memilih profesion ingin dengan harapan dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat sekeliling demi tuntutan agama. Niat semata-mata kerana Allah, bukan hanya untuk dapat gaji yang lumayan sahaja. Sehingga saya mendapat gaji yang pertama barulah saya sedar sebanyak itu saya dibayar untuk amanah dan tanggungjawab yang amat besar.

Proses mendidik pelajar bukan hanya terhad di dalam bilik darjah sahaja. Bukan hanya memastikan pelajar memahami isi pelajaran, menyiapkan kerja rumah serta mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Tetapi merangkumi soal tanggungjawab agama dan sosial dalam membantu mereka menjadi insan kamil yang mampu memimpin negara suatu hari nanti. Sebagai da'i, tanggungjawab membimbing manusia ke arah kebaikan serta meninggalkan larangan Allah SWT. sebagai contohnya sentiasa menasihati pelajar dengan tuntutan agama seperti solat 5 waktu yang wajib dilaksanakan. Tugas ini bukan hanya terletak dibahu seorang guru yang bergelar 'USTAZ' atau 'USTAZAH' sahaja.

Dalam usaha membentuk insan kamil, diri seorang insan yang bergelar cikgu perlu dimantapkan. Pengetahuan tentang kurikulum, pedagogi serta psikologi pendidikan, diperteguhkan dengan penghayatan agama dan pemantapan iman mampu memberi kekuatan cikgu sebagai perlaksana agenda pendidikan negara. Jadi seorang guru perlu menghayati istilah menuntut ilmu sepanjang hayat... INSYAALAH...

CIRI-CIRI REMAJA...

  • Suka bergaul dengan rakan sebaya daripada ibu bapa
    Pada peringkat ini, manusia remaja akan mula belajar bergaulan dengan orang lain selain daripada ahli anggota keluarga mereka. Ini bermaksud bahawa peringkat remaja merupakan peringkat perkembangan sosial seseorang. Sehubungan itu, orang remaja adalah suka berkawan dan senang tersinggung oleh masalah sosial.
  • Suka berangan-angan
    Remaja yang normal mempunyai angan-angan sihat mengenai masa depan mereka. Mereka sentiasa memikirkan apa yang akan mereka buat pada masa hadapan.
  • Senang Terpengaruh oleh Emosi
    Orang remaja merupakan orang yang senang terpengaruh oleh emosi. Ini adalah kerana rasional mereka masih berkembang dan belum sampai ke satu tahap yang mantap..
  • Perasaan ingin tahu yang menebal
Remaja selalu menunjukkan perasaan ingin tahu yang lebih menyeluruh terhadap diri sendiri dan alam
sekeliling.
Ini menjerumuskan mereka ke arah mencari kebebasan emosi, sosial dan ekonomi.


Wednesday, July 8, 2009

REMAJA..OH REMAJA...

Siapakah REMAJA?

Dalam usaha mendidik perkara utama yg perlu dititikberatkan ialah memahami siapa remaja itu sebenarnya. Benarlah kata pepetah tak kenal maka tak cinta, macam mana kita nak menasihati golongan ini kalau kita tidak mendekati mereka dan bagaimana nak mendekati golongan ini kalau kita tidak tahu siapa mereka dan cuba memahami siapa mereka. Huh.. memang rumit untuk dijelaskan tetapi saya percaya kita mampu memahami jika kita mahu memahami. Lagipun, kita yang dah dewasa ini suatu tika dahulu pernah berada ditempat mereka, REMAJA. Mari kita selidiki siapa itu REMAJA..

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu,

Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun atau 13 hingga 25 tahun. Perkataan 'remaja' berasal daripada perkataan Latin bermakna menuju ke arah kematangan. golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa. Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa.

Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi, dan bahasa. Akibat daripada itu, orang remaja merupakan orang yang emosinya tidak stabil, dan sentiasa "bermasalah".

Pengalaman mendidik pelajar tingkatan 4 dan 5, yang berumur sekitar 16 hingga 17 tahun banyak menjadikan saya seorang yg berfikir. Berfikir dimana puncanya setiap kali berdepan dgn para pelajar saya terbeban dgn sifat-sifat buruk mereka. Malas, egois, degil, suka memberontak, tak menghormati guru, suka melepak, membuang masa dan susah utk menerima nasihat. Malangnya, yg berperangai buruk ini adalah anak bangsa saya sendiri, yg perlu diubah supaya masa depan bangsa akan terbela. Jadi langkah pertama yg saya ambil ialah dgn memahami jiwa, emosi serta cara mereka berfikir. Semoga dgn memahami mereka jiwa saya tidak tertekan dan dapat terus berfikir macam mana pula caranya untuk mendekati mereka seperti mana kata pepatah, "menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak".. INSYAALLAH..



Sunday, July 5, 2009

SALAM UKHUWAH...

Bismillahirrahmanirrahim.... Dengan nama Allah Yg Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Alhamdulillah, diberi kesempatan oleh Allah SWT dalam kesibukan tugas2 seharian di dunia fana ini, memahami nikmat dijadikan sebagai seorang manusia, khalifah dibumi Allah ini, dengan nikmat yg tiada tolok bandingnya iaitu nikmat berfikir... selagi nyawa dikandung badan akan aku gunakan amanah pemberian Yang Esa ini utk sentiasa berfikir ttg setiap satu kejadiannya dgn harapan keimanan diri dapat ditingkatkan.. InsyaAllah...

Dengan amanah yg diberikan sebagai pendidik anak bangsa untuk menjadi pemimpin dimasa hadapan, juga sebagai pemegang amanah dlm mendidik dan membentuk zuriat permata hatiku banyak ilmu yang perlu diterokai, serta dipraktikkan agar amanah ini dapat dilaksanakan sebaik-baiknya...

Dengan arus perkembangan teknologi, dunia kita sudah tiada sempadan. Kalau suatu masa dahulu, apa perkembangan diluar negara hanya boleh diketahui melalui BULETIN UTAMA tapi kini, taip sahaja dimana-mana agen pencarian, segala maklumat dihujung jari. Hanya benteng iman yg dapat memilih mana yg patut atau tidak.

Semoga semangat yang berkobar-kobar untuk mendidik dan memajukan anak bangsa yang sudah menjadi darah daging sepanjang hampir 10 tahun bergelar 'cikgu' ini akan terus menyemarak, sebagaimana semaraknya terik matahari yang menerangi seluruh alam tempat persinggahan sementara kita, dalam perjalanan ke alam yg kekal abadi...