Monday, July 20, 2009

PANDAI KE??

Kali ini saya cuba untuk memahami serta membincangkan berkaitan satu perkataan iaitu PANDAI. Satu perkataan yang sangat ringkas tapi meluas digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Seawal usia beberapa bulan hingga ke lanjut usia, perkataan ini mudah difahami maksudnya. Namun begitu adakah kita benar-benar memahami maksud sebenar perkataan ini?

Dewasa ini kita sering disogokkan dengan istilah pandai yang bergantung kepada sebanyak mana A yang diskor oleh seseorang pelajar dalam peperiksaan mereka. Adalah kepandaian seseorang itu hanya diukur dengan berapakah bilangan A yang diperoleh dalam UPSR, PMR dan SPM? Adakah pelajar X yang mendapat 2A kurang pandai berbanding pelajar Y yang mendapat 5A dalam peperiksaan yang sama? Mengapa persoalan pandai atau tidak seseorang anak itu diukur dengan bilangan A yang diperoleh mereka? Kerapkali dialog-dialog di bawah ini kita dengar selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan.
Situasi A:
"Anak you dapat berapa A?”
“Anak I dapat 5A”
“Wah..Pandainye anak you.”
Situasi B:
“Tengok ayah, Amin dapat 2A dalam peperiksaan lepas”.
“Apa ni Amin. Ayah penat-penat cari duit sekolahkan Amin, 2A je Amin dapat? Pergi sekolah buat ape ? Main ke ?”

Dialog di atas tu rekaan sahaja tiada kaitan dengan sesiapa pun. Itu antara dialog-dialog yang biasa kita dengar. Mungkin itu soalan yang relevan untuk tujuan nak sibuk tahu keputusan exam anak orang lain ataupun soalan trend (kalau dulu-dulu tanya berapa agregat)...

Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan bilangan A sehinggakan kita tidak memandang pencapaian anak-anak kita dari aspek yang lain. Adakah tujuan pendidikan anak-anak kita ini hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata? Adakah pandai atau tidaknya anak kita itu hanya diukur dengan pencapaian akademiknya sahaja?
Saya bukanlah seorang yang Anti-A. Darah yang mengalir dalam badan saya pun Darah O, penderma universal, tiada apa-apa antigen. Waktu sekolah dulu pun saya selalu skor sempurna ‘straight’ A dalam exam. Cuma nikmat A dahulu amat berbeza dengan A yang sekarang. Apa nikmatnya A? A Cumalah suatu gred yang diberikan diatas penguasaan peringkat CEMERLANG. Adakah cemerlang seorang anak yang mendapat 10 A tetapi kurang ajar dengan guru, ibu bapa mahupun masyarakat disekeliling?

Takut saya apabila mengetahui trend ibu bapa sekarang yang asyik menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen. Ada antaranya yang menghantar anak mereka seawal umur 6 tahun! Untuk apa pada usia seawal itu anak-anak ini dibebankan dengan jadual hidup yang membosankan sehingga membataskan waktu anak-anak bermain serta bermesra dengan adik beradik dan ibu bapa mereka? Sekali lagi, saya bukanlah Anti-Tuisyen malahan saya salah seorang guru tuisyen. Cuma trend ini sedikit sebanyak melebarkan jurang kasih sayang sesama ahli keluarga. Paling menyedihkan ada antara ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen semata-mata kerana tidak sanggup melayan karenah anak-anak yang asyik nak tengok TV serta membuang masa di dalam rumah sendiri! Ingin saya tegaskan, tak semua ibu bapa macam ni...hanya segelintir. Bersyukurlah, kita bukan dalam golongan tersebut.

Sebagai ibu bapa saya yakin apa yang kita rancangkan untuk anak-anak kita adalah yang terbaik. Kalau di sekolah boleh pilih cikgu, pasti kita akan memilih guru-guru yang terbaik untuk anak kita. Tetapi biarlah perancangan kita itu juga mengambil kira perkembangan jasmani, rohani, emosi dan sosial anak-anak kita. Barulah kita dapat membentuk anak kita sebagai insan kamil yang bukan sahaja pandai, beriman serta berakhlak mulia.

Mari kita sama-sama memahami maksud sebenar perkataan PANDAI. Menurut kamus dewan bahasa(edisi keempat):
· PANDAI bermaksud cerdik, pintar, bijak, cekap, mahir, boleh, mampu, sanggup
· BIJAK bermaksud pandai, cerdik, pintar, pandai bercakap, petah lidah
· PINTAR bermaksud cekap, pandai, banyak akal, cerdik, mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan.
· GENIUS bermaksud sangat pintar, sangat cerdik, cerdik yg luar biasa

Menurut kamus maya, wikipedia.com:
· Intelligence is an umbrella term used to describe a property of the mind that encompasses many related abilities, such as the capacities to reason, to plan, to solve problems, to think abstractly, to comprehend ideas, to use language, and to learn. There are several ways to define intelligence. In some cases, intelligence may include traits such as creativity, personality, character, knowledge, or wisdom. However there is no agreement on which traits define the phenomenon of intelligence agreed upon by a majority across the various concerned disciplines.

Kalau difahamkan maksud kepandaian di atas, pandai atau bijak itu bukan terbukti semata-mata pada bilangan A yang diperoleh tetapi lebih kepada bagaimana ilmu yang diperoleh itu digunakan dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian yang melibatkan penyelesaian masalah, percambahan idea, penggunaan bahasa dalam berkomunikasi, personaliti diri serta kreativiti seseorang dalam menjalani hidupnya.

Pernah ada seorang pelajar menyoal saya kenapa dia perlu belajar Matematik Tambahan yang bagi beliau sesuatu yang susah dan membosankan. Saya cuba memahamkan pelajar tersebut berkaitan suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila kita dapat menyelesaikan soalan Matematik Tambahan. Kami bersama-sama menyelesaikan satu soalan Matematik Tambahan dan apabila berjaya selesaikannya saya bertanyakan apa perasaan beliau apabila berjaya selesaikan soalan itu. Sambil tersenyum beliau berasa yakin, bangga dan puas hati. Jadi saya merumuskan kepada beliau bahawa kehidupan ini pun macam soalan Matematik tambahan juga. Setiap hari kita akan berdepan dengan masalah yang pelbagai rupa. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, tetapi perlu diselesaikan secara sistematik, menggunakan kaedah yang betul, sabar dan teliti dalam setiap langkah. Akhirnya jika kita berjaya menyelesaikan satu persatu masalah dalam hidup kita, kita pun akan menjadi seorang yang yakin, bangga dan puas hati dengan hidup kita.

Semoga hidup kita ini sentiasa menyumbang ke arah kebaikan; ibarat sepohon pokok yang berbuah ranum, biarlah dibaling batu mahupun kayu, ia tetap setia membalasnya dengan buah yang masak ranum lagi manis....

No comments:

Post a Comment